Thursday, 17 May 2012

Vol.12 : Allah Is Great

 Disaat aku menyibukkan diri dengan persediaan untuk menghadapi Imtihan, Aku lupa bahawasanya PRIORITI utama yang Sebenarnya adalah ALLAH yang satu. Dia lah tempat pergantunganku, Dia juga lah tempat ku mengadu perihal sedih dan duka yang tak mungkin aku kongsikan bersama keluarga tersayang mahupun sahabat handai. Masa yang aku perhabiskan dihadapan laptop & nota-nota study jauh lebih panjang daripada masa dikorban untuk bertahajjud kepada Allah di malam hari....

                                

Laungan Azan memuji kebesaran tuhan memecah kebuntuan pagi. Tatkala imam bersuara lantang melaungkan takbir "Allahu Akbar" pemisah antara rukun untuk sekalian makmum turun sujud terakhir Subuh, dikala daku merebahkan tubuh badan yang hina ini ke lantai bumi, muncul satu aura luar biasa yang sukar digambarkan dengan kata-kata. Jika hendak ditimbulkan kisah lebih hiperbola, hinggakan meremang sekalian bulu roma ditubuh badan. Kalimah "Allahu Akbar" yang cukup ringkas acapkali menjadi halwa telinga, bahkan sudah dianggap satu kalimah biasa yang sering kali dilafazkan pabila bangkit mendirikan solah. Turut membawa erti yang dilihat 'simple', Allahu Akbar = Allah Maha Besar. Tetapi tanpa disedari, kalimah yang dilihat 'simple' itu lah yang membawa satu impak jauh ke dalam benak hatiku. dushhh..sukar untuk digambarkan perasaan ketika itu. Tergiang-ngiang kalimah agung tersebut di hati sejurus selepas bangkit daripada sujud untuk tahiyyat akhir. Bercampur baur antara perasaan hiba dan insaf. Umpama membawa satu mesej mendalam kepada diri. Tika itu juga lah kelopak mata mula berlinangan, menitisnya satu persatu air mata insaf daripada pancaindera yang sentiasa terdedah kepada zina mata dan lautan maksiat ini. Selesainya memberi salam, menandakan berakhirnya solat. Perlahan-lahan bibir di mulut bergerak mengikut rentak wirid-wirid amalan harian dan kemudian menadah tangan kehambaan kepada Allah sambil menundukkan kepala kearah bumi, mata dipejam sepenuhnya. Mengenang segala kejahilan, dosa-dosa besar mahupun kecil yang pernah dilakukan sepanjang bernafas di muka bumi Allah ini. Bahkan menjejakkan kaki di bumi para Anbiya' ketika ini. Saat itu jugalah dirasai linangan air mata kian rancak menuruni permukaan kulit muka. Barangkali jauh daripada benak hatiku tersenyum juga tanda kesyukuran kepada Allah atas lemparan cahaya hidayah beliau, kesempatan merasa erti khusyuk dalam solat, nikmat kemanisan dalam beribadah yang dialami sekian sekian waktu sahaja. Kesyukuran tak terhingga juga mengenang nikmat kesihatan, nikmat rezeki, berdirinya aku pada hari ini menghirup setiap zarah oksigen di udara. Sedangkan 70 kali setiap hari Malaikat Maut, Izrail melawatku. Sudah 19 tahun berhadapan dengan asam garam kehidupan tetapi Allah masih memberi kesempatan kepadaku untuk menikmati keindahan dunia ciptaanNya. Alhamdulillah..


Kenapa perlu mencari 'kekasih' hati yang belum ada kepastian pabila kekasih utama kita yakni Allah sentiasa berada dekat dengan kita? bahkan dikabarkan dalam kalam suci al-Quran,

وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ
Ertinya : "Dan Kami lebih dekat kepadanya daripada urat lehernya” [Qaff : 16] 

Kenapa perlu mencari tempat mengadu/pergantungan yang lain sedangkan Allah sentiasa bersedia mendengar luahan hati kita? Sedangkan Nabi Musa sendiri, seorang NABI pernah berdoa,
“Wahai Allah, bagi-Mu dan hanya kepada-Mu lah tempat untuk mengeluh dan mengadu, Engkau adalah tempat untuk minta pertolongan, Engkau tempat minta bantuan, Engkau tempat memasrahkan diri, tidak ada daya dan kekuatan kecuali ha-nya milik-Mu.”
Bahkan Nabi kita, Rasulullah SAW juga pernah berdoa,,

“Wahai Allah sesungguhnya aku mengadukan kelemahanku ini kepada-Mu dan aku mengadukan kurang cerdikku kepada-Mu...” 

 Pergantungan kita sebagai hamba Allah yang kerdil pula dimana?? dimana??

Kenapa pabila hati dan jiwa terasa kosong kita perlu mencari muzik-muzik lagha untuk dijadikan halwa telinga sedangkan kalam Suci Allah yakni Quran itu adalah pengubat segala perkara?

"Sesungguhnya, orang yang beriman itu, hanyalah mereka yang apabila disebut (nama) Allah, gementar hati mereka, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-Nya, bertambahlah iman mereka kerana-Nya dan kepada Tuhanlah mereka bertawakal" (Surah al-Anfaal, ayat 2). 

Sama-sama fikirkan. Apa khabar iman hari ini? 



2 comments: